KUCHING, 6 Februari- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, KPDN Sarawak menggerakkan 189 pegawai penguat kuasa dan 97 pegawai pemantau harga di lokasi strategik seluruh negeri bersempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan, SHMMP Tahun Baharu Cina kali ini.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN Sarawak, Peter J.Berinus Agang berkata pegawai berkenaan akan memantau keberadaan bekalan serta pematuhan serta pemeriksaan di pasar awam, pasar basah dan pasar raya.
SHMMP Tahun Baharu Cina berkuatkuasa selama sembilan hari, bermula hari ini hingga 14 Februari depan.
Sebanyak 11 jenis barangan harga terkawal diwartakan bagi pelaksanaan skim berkenaan termasuk udang putih, lobak putih import dan ikan bawal putih.
Peter menyatakan demikian semasa mengadakan temu mesra untuk meninjau pelaksanaan SHMMP Tahun Baru Cina di sebuah pasaraya di Kuching Sentral pagi tadi.
Sejak 1 Januari hingga semalam, KPDN Sarawak telah menjalankan pemeriksaan ke atas 6,878 premis dan mengeluarkan 96 notis membabitkan nilai kompaun RM12,200 serta anggaran nilai sitaan berjumlah RM4.463 juta.