fb fb fb fb fb

KPDN sambut baik kerjasama rentas kementerian, agensi isu NPO

Datuk Armizan Mohd Ali

BANGI, 5 Mei- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengalu-alukan cadangan Kementerian Perladangan dan Komoditi agar Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) lebih tegas dan teliti dalam pemeriksaan produk berkaitan pelabelan boikot produk kelapa sawit di semua pintu masuk negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kementerian itu memandang serius isu tersebut dan akan bertindak tegas terhadap kempen boikot terbabit yang sebelum ini dilaksanakan secara agresif di negara luar.

Pada masa sama KPDN juga menyambut baik kerjasama rentas kementerian dan agensi dalam penguatkuasaan terhadap kempen itu.

"Jadi saya fikir ia akan dapat melengkapkan ekosistem bukan hanya penguatkuasaan kita, apabila barang itu telah sampai dalam negara di premis-premis perniagaan tetapi kawalan selia itu akan bermula di pintu masuk.

"Kita tahu sektor atau industri minyak kelapa sawit ini memberikan sumbangan yang amat besar kepada ekonomi negara dan tidak ada alasan daripada pihak-pihak tertentu cuba untuk mendiskriminasi produk-produk minyak kelapa sawit," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pasar raya 'Richiamo Mart' yang pertama di sini.

Sebelum ini pihak KPDN menyerbu sebuah kedai serbaneka di Presint 3 di Putrajaya kerana disyaki menjual produk makanan tertera perkataan 'No Palm Oil' (NPO) atau 'Tiada Minyak Sawit' pada plastik pembungkusan produk itu.

Sebelum ini Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Ghani memberi amaran tegas kepada peruncit, pemborong dan pengimport di negara ini, supaya tidak menjual, mengedar atau mengimport produk yang dilabel dengan kempen memboikot produk kelapa sawit.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI