fb fb fb fb fb

KPDN Pulau Pinang laksana ReDI tarik pengunjung ke Bazar Rahmah

Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan/Foto FB KPDN Pulau Pinang

BUKIT MERTAJAM, 29 Mac - Sebanyak RM160,000 diperuntuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menerusi Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) di dua buah Bazar Ramadan Ramah (BRR) iaitu Bazar Ramadan Jalan Mahkamah, Bayan Lepas dan Ban Busuk, Kubang Semang.

Bazar berkenaan dipilih sebagai perintis BRR di Pulau Pinang pada tahun ini dengan kerjasama strategik KPDN dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan berkata, sebanyak 35 peniaga di bazar tersebut menyertai inisiatif ini dengan menawarkan pelbagai juadah berbuka berkonsepkan RAHMAH dengan harga maksimum RM5.

"Bagi menggalakkan peniaga dan pengguna menggunakan e-dompet di setiap BRR, pemberian insentif sebanyak RM20 telah diberikan kepada 2,000 pengunjung terawal yang hadir pada setiap tarikh yang dipilih, membabitkan peruntukan keseluruhan RM160,000,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan jelajah mesra bersempena program Inisiatif ReDI di BRR Ban Busuk, di sini, hari ini.

Program ini telah dijalankan selama empat kali sepanjang Ramadan iaitu pada 15 dan 27  Mac 2024 lalu di Bazar Jalan Mahkamah, Bayan Lepas dan 22 dan 29 Mac 2024 di Bazar Ban Busuk. 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD