KUALA LUMPUR, 4 Mac- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menggandakan pemantauan dan penguatkuasaan menerusi Op Pantau 2025.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata Perdana Menteri turut menggesa agar pemantauan dilaksana dengan lebih kerap bagi menjamin bekalan barangan keperluan rakyat sepanjang Ramadan dan Aidilfitri mencukupi.
Perkara itu dibincangkan Perdana Menteri bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali membincangkan isu-isu utama berkaitan kos sara hidup rakyat.
"Perdana Menteri mahu strategi intervensi dilaksana segera bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sekiranya terdapat gangguan bekalan.
"Perdana Menteri turut menegaskan bahawa KPDN perlu lebih tegas dalam memastikan peniaga mematuhi harga maksimum yang ditetapkan Kerajaan, termasuk bagi barangan bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan yang akan diumumkan kelak," katanya.
Beliau menjelaskan perkara itu dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia.
Pada pertemuan sama, Perdana Menteri turut mengarahkan pemantauan harga makanan di bazar Ramadan dipertingkat.
Perkara tersebut bagi mengelakkan pihak tertentu mengambil kesempatan dengan menaikkan harga secara tidak wajar.
"Perdana Menteri sendiri akan melawat beberapa bazar Ramadan untuk memantau sendiri harga dan kualiti makanan secara langsung, di samping memberikan sokongan kepada peniaga peniaga kecil.
"Beliau juga mengarahkan supaya ditingkatkan kekerapan Program Jualan Rahmah MADANI sepanjang bulan Ramadan dan menjelang bulan Syawal nanti," katanya lagi.