fb fb fb fb fb

KPDN Perlis sahkan tiada kenaikan harga rempah ratus dikesan

Hasbullah Abd Rashid(kiri) dan Ahli Majlis Mesyuarat Perlis, Razali Saad(tengah) memantau pematuhan SHMMP Deepavali di sebuah Pasaraya

PERLIS, 29 Oktober - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis sehingga kini tidak menerima sebarang laporan berkaitan kenaikan harga rempah ratus menjelang sambutan Deepavali, Khamis ini.

Pengarah KPDN Perlis, Hasbullah Abd Rashid memaklumkan, bekalan rempah ratus untuk keperluan Deepavali mencukupi dan pihaknya akan sentiasa memantau kesemua premis yang menjual keperluan berkenaan khususnya melibatkan bekalan dan harga yang ditawarkan.

"Selain daripada aduan, kita juga menghantar pegawai pemantau harga di premis berkaitan dan hasil maklumat yang diterima setiap hari mendapati tiada kenaikan harga di Perlis.

"Daripada analisis harga juga mendapati tiada item berkaitan rempah ratus yang dimasukkan dalam jenis barangan yang terdapat kenaikan harga," katanya pada Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali di Kangar.

Seramai 33 pegawai dan anggota penguatkuasa KPDN digerakkan sepanjang pelaksanaan SHMMP dengan tumpuan terhadap 35 premis pemborong dan penjual seluruh Perlis.

SHMMP berkuatkuasa mulai 28 Oktober sehingga 3 November ini melibatkan lapan jenis barangan iaitu bawang merah besar import, kacang dal Australia, bawang merah kecil India termasuk ros, cili merah, daging kambing biri-biri bertulang import, kelapa biji dan kelapa parut serta tomato.

Trainee