fb fb fb fb fb

KPDN Perlis laksana pemeriksaan setiap hari, tangani isu pencatutan harga

Pengarah KPDN Perlis, Norazah Jaapar ketika mengetuai Penguatkuasaan Susulan Pelaksanaan Penyasaran Subsidi Diesel berkuatkuasa hari ini di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan keselamatan (ICQS) Padang Besar.

PADANG BESAR, 10 Jun - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis melaksanakan pemeriksaan harga barangan secara harian bagi menangani isu berkaitan pencatutan harga barang dan perkhidmatan, khusus bagi menjayakan inisiatif penyasaran subsidi diesel dengan lebih berkesan.

Pengarahnya Norazah Jaapar berkata menerusi Ops Kesan 2.0 pihaknya memfokuskan kepada pemeriksaan di semua premis perniagaan yang terlibat, termasuk hotel dan kedai runcit bagi membendung risiko pencatutan harga.

Menurutnya, lima pendekatan dikenalpasti bagi memperkukuhkan pelaksanaan Ops Kesan 2.0 berkenaan.

Ini termasuklah proses pengumpulan data harga dan caj perkhidmatan yang bermula sejak 2 Mei lalu yang dijadikan asas perbandingan harga dan caj perkhidmatan sebelum dan selepas penyasaran subsidi dilaksanakan.

Selain itu, katanya pasukan tugas khas turut ditubuhkan bagi menyelaras dan menyelesaikan isu yang timbul daripada pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Ujarnya, pendekatan lain ialah melanjutkan waktu operasi Pusat Arahan Penguatkuasaan dari 9.00 pagi sehingga 10.00 malam setiap hari; menetapkan SOP pengurusan aduan berkaitan caj, harga dan bekalan serta menyediakan saluran aduan khas bagi memudahkan orang ramai membuat aduan.

"2.0 ini kita dah boleh banding data harga iaitu harga sebelum penyasaran subsidi diesel dengan harga selepas penyasaran subsidi diesel. Jadi sekiranya ada aduan, pertamanya kita boleh tengok harga tu dan yang keduanya memudahkan kita untuk buat siasatan apakah punca-punca, apabila peniaga diminta kita bagi notis , jadi dia kena terangkan kepada kitalah apakah punca-punca mereka menaikkan harga tu," katanya.

Beliau ditemui media ketika mengetuai Penguatkuasaan Susulan Pelaksanaan Penyasaran Subsidi Diesel berkuatkuasa hari ini di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan keselamatan (ICQS) dan Petronas Padang Besar.

Ops Kesan 2.0 Pelaksanaan Penyasaran Subsidi Diesel mula berkuat kuasa 8 Jun lepas yang bertujuan memastikan tidak berlaku elemen pencatutan terhadap harga barang dan perkhidmatan dengan mengguna pakai alasan pelarasan harga runcit diesel di stesen minyak.

Sementara itu merujuk kepada Ops Tiris 3.0 bagi tempoh 1 Jan hingga 31 Mei lepas pula, KPDN Perlis telah merekodkan nilai rampasan berjumlah RM849,625 daripada 58 kes yang dikesan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 [Akta 112], dan 40 tangkapan.

Norazah berkata nilai rampasan itu melibatkan jenis komoditi barangan kawalan iaitu minyak diesel yang melibatkan 22 kes, petrol RON95 (19 kes), minyak masak (10 kes), gula dan tepung gandum (masing-masing dua kes), serta gas petroleum cecair (LPG) (tiga kes).

“Di bawah penguatkuasaan Ops Tiris 3.0 KPDN Perlis, bagi tempoh 1 Januari 2024 sehingga 31 Mei 2024, sebanyak 5,572 pemeriksaan telah dilakukan, meliputi pos kawalan di ICQS (Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan) Padang Besar dan Wang Kelian, stesen minyak, pemborong, kuari dan premis perniagaan lain,” katanya.

ZEHRA BINTI ZAMBRI