KANGAR, 13 Mac- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis menganjurkan Bazar Ramadan Rahmah MADANI (BRRM) di dua lokasi terpilih bermula petang semalam sepanjang Ramadan ini iaitu di Persiaran Wawasan Kangar Bersebelahan Kompleks Dewan Undangan Negeri dan Dataran Niaga Arau.
Pengarah KPDN Perlis, Norazah Jaapar memaklumkan, bazar yang dianjurkan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kangar dan Touch N Go E-Wallet itu turut menawarkan insentif e-dompet berjumlah RM20 kepada 500 pengunjung terawal di setiap lokasi.
Bagi Bazar Ramadan Rahmah Madani di Persiaran Wawasan Kangar melibatkan penyertaan 32 pengusaha Menu Rahmah, manakala di Dataran Niaga Arau dengan 13 pengusaha Menu Rahmah.
Pengusaha Menu Rahmah berkenaan menawarkan pilihan makanan dan minuman tidak melebih RM5 setiap satu yang menjadi tumpuan para pengunjung ke Bazar Ramadan.
Bagi pengunjung ke Bazar Ramadan Rahmah Madani, pihak KPDN memasang gegantung di setiap gerai yang menyediakan Menu Rahmah bagi memudahkan setiap pengunjung membuat pilihan.
Beliau memaklumkannya ketika meninjau pelaksanaan Bazar Ramadan Rahmah Madani di Persiaran Wawasan bersebelah Kompleks Dewan Undangan Negeri, Kangar.
Pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN akan melakukan pemantauan di setiap Bazar Ramadan di seluruh Perlis menerusi Ops Pantau bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan seperti meletakkan tanda harga pada barang jualan.