fb fb fb fb fb

KPDN Perlis gagalkan cubaan seludup diesel, rampasan hampir RM21,000

KANGAR, 27 Jun- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perlis berjaya mematahkan aktiviti penyelewengan minyak diesel menerusi Ops Tiris.

Serbuan dilakukan di sebuah stesen minyak di Jalan Kaki Bukit, Kangar malam tadi.

Pengarah KPDN Negeri, Norazah Jaapar dalam kenyataannya memaklumkan, sebanyak 900 liter minyak diesel, sebuah lori yang mempunyai tangki tambahan yang diubahsuai dan pam penyedut minyak disita dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah hampir RM21,000.

Turut ditahan seorang pemandu lelaki warga tempatan berumur dalam lingkungan awal 30-an.


(Lori yang mempunyai tangki tambahan yang diubahsuai)

Kejayaan ini adalah hasil daripada risikan yang dilakukan semenjak dua minggu yang lalu oleh penguat kuasa KPDN. 

Ketika pemeriksaan dan serbuan ke atas sebuah motorlori yang sedang mengisi minyak diesel distesen minyak berkenaan mendapati terdapat tangki tambahan di bahagian atas lori.

Tangki tambahan tersebut dilindungi dengan timbunan barang-barang lusuh seperti tong-tong dan bekas-bekas plastik, tayar lusuh serta beg-beg terpakai bagi mengaburi penguat kuasa terhadap aktiviti haram yang dijalankan oleh sindiket ini.

Kapasiti muatan tangki tambahan tersebut dipercayai boleh memuatkan sebanyak Seribu 600 liter minyak diesel.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

Media Baharu