
KUALA LUMPUR, 27 Februari – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menegaskan komitmen kerajaan menutup sepenuhnya ruang ketirisan subsidi di bawah Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) menerusi pelaksanaan kawalan dan penguatkuasaan menyeluruh, termasuk penggunaan sistem eCOSS.
- Pelaksanaan COSS dan eCOSS diperkukuh dengan kawalan menyeluruh bagi menutup manipulasi dan kebocoran subsidi.
- Penggunaan Mobile eCOSS diperluas di peringkat runcit untuk merekod transaksi dan menghalang pembelian oleh warga asing.
- Tindakan penguatkuasaan dipertingkat mulai 1 Mac 2026 termasuk pembatalan lesen, nyahaktifan eCOSS dan pendakwaan tanpa kompromi.
Timbalan Menteri KPDN, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, pendekatan itu melibatkan pemantauan bersepadu di sepanjang rantaian bekalan minyak masak paket bersubsidi satu kilogram bagi memastikan subsidi yang diperuntukkan benar-benar dimanfaatkan golongan sasar.
Jelasnya, pelaksanaan COSS tidak bergantung kepada satu mekanisme semata-mata, sebaliknya disokong ekosistem kawalan menyeluruh merangkumi pendaftaran dan pelesenan pemain industri, perekodan transaksi secara digital, pengesanan pergerakan bekalan (traceability) serta pemantauan berterusan dari peringkat pengilang hingga ke peruncit.
“Pendekatan ini menutup ruang manipulasi, penyelewengan dan kebocoran subsidi secara sistematik dan berasaskan bukti. Melalui COSS dan eCOSS, KPDN memperkukuh tadbir urus subsidi dengan membolehkan pengesanan awal ketidakpatuhan serta tindakan penguatkuasaan lebih pantas dan bersasar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, pada Khamis.
Tambah Datuk Dr Fuziah, penggunaan aplikasi Mobile eCOSS di peringkat runcit turut diperluas bagi merekod transaksi jualan secara terus di premis perniagaan, sekali gus mengekang penyelewengan termasuk pembelian oleh warga asing di peringkat akhir rantaian bekalan.
Mulai 1 Mac 2026, KPDN akan mempertingkat tindakan penguatkuasaan terhadap peruncit, pemborong atau mana-mana pihak yang gagal mematuhi peruntukan undang-undang, termasuk pembatalan lesen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, penyahaktifan profil dalam sistem eCOSS serta pendakwaan tanpa kompromi.
Menerusi akta berkenaan, individu yang sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda boleh mencecah RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi syarikat pula, denda sehingga RM2 juta boleh dikenakan bagi kesalahan pertama, manakala kesalahan kedua dan seterusnya boleh didenda sehingga RM5 juta.
Berdasarkan rekod penguatkuasaan dari 2024 hingga Februari 2026, sebanyak 940 kes penyelewengan dan ketidakpatuhan pengedaran minyak masak bersubsidi direkodkan dengan 755 tangkapan dilaksanakan di seluruh negara.
“KPDN yakin penguatkuasaan berterusan mampu menutup ruang ketirisan subsidi, memperkukuh integriti pengurusan bantuan kerajaan serta memastikan minyak masak paket bersubsidi dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat yang layak, selaras prinsip Kerajaan MADANI yang menekankan kecekapan, integriti dan keadilan sosial,” jelas Datuk Dr Fuziah lagi.