fb fb fb fb fb

KPDN perkenal Kad Diskaun Khas Menu Rahmah

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali

KUALA LUMPUR, 2 November- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi inisiatif dengan memperkenalkan Kad Diskaun Khas Menu Rahmah.

Menurut Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, sebanyak 2,849 premis berdaftar menawarkan Menu Rahmah di seluruh negara bagi memastikan golongan berpendapatan rendah menikmati pilihan makanan di luar dengan harga berpatutan.

"Enam pasar raya menawarkan diskaun sehingga 40 peratus kepada pengusaha dan peniaga yang menyediakan Menu Rahmah.

"Pasar raya berkenaan ialah Mydin, AEON BIG, Econsave, Lotus, NSK dan juga Giant.

"Barangan ditawarkan seperti ayam, bawang dan barangan asas lain," kata Armizan kepada pemberita di sini.

Katanya, permohonan kad itu telah dibuka mulai hari ini melalui portal https://menurahmah.kpdn.gov.my.

Antara kriteria ditetapkan adalah warganegara Malaysia, telah berdaftar sebagai pengusaha Menu Rahmah di bawah kementerian itu dan perniagaan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta pihak berkuasa tempatan.

Dalam pada itu, Armizan berkata KPDN melaksanakan tiga langkah memantau isu harga ayam.

Menurut Armizan, ia berikutan pemberhentian subsidi dan kawalan harga berkuat kuasa semalam.

"Tiga pendekatan yang akan kita laksanakan pertamanya adalah untuk meneruskan pemantauan dan penguatkuasaan khususnya mengguna pakai Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan juga kita mempertimbangkan kes-kes tertentu melihat sekiranya perlu untuk kita mengguna pakai Akta Persaingan sekiranya ada elemen pakatan.

"Kedua, adalah untuk kita melaksanakan solusi, mitigasi bersasar mengikut kawasan sebab ada kawasan-kawasan tertentu yang kita lihat ada isu.

"Ketiga adalah untuk kita memperluaskan program intervensi di kawasan-kawasan yang mempunyai isu, khususnya saya menerima arahan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau prihatin tentang perkara ini, khususnya di Sabah, Sarawak dan juga Wilayah Persekutuan Labuan dan juga kawasan-kawasan di Semenanjung yang kita lihat ada isu penawaran harga yang tinggi," katanya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM