KUALA LUMPUR, 26 Februari - Proses bangunkan standard keselamatan produk bayi termasuk lampin pakai buang sedang diperhalusi, bagi memastikan kualiti produk berkenaan terjamin.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, keputusan itu selari dengan kuasa yang diberi bawah akta Perlindungan Pengguna 1999, seksyen 19 yang memperuntukkan menteri boleh menetapkan standard keselamatan bagi barangan dan perkhidmatan.
"Maka dengan mengambil punca kuasa ini KPDN akan memulakan proses untuk membangunkan standard berkenaan barang-barang bayi kita perlu kerja dengan semua agensi. Tetapi saya mahu maklumkan juga bahawa bahagian standard bawah KPDN telah membangunkan standard mengenai mainan bayi.
"Kita sudah siapkan standard tetapi Insya-Allah produk bayi keseluruhanya kita akan mulakan proses untuk bersama dengan semua agensi dan membangunkan standard keselamatan produk bayi termasuk lampin pakai buang," kata Fuziah.
Beliau menjawab soalan yang dikemukan oleh Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi yang ingin mengetahui berkenaan langkah kerajaan menetapkan standard keselamatan bagi produk bayi, di Parlimen.
Pembangunan standard berkenaan juga akan melibatkan kerjasama 15 agensi berkaitan termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kimia Malaysia.
Setakat ini hanya empat aduan berkaitan lampin pakai buang diterima sejak 2015 dan tindakan penguatkusaan juga diambil terhadap sebuah syarikat di Sungai Petani yang terlibat dalam pengedaran lampin pakai buang tiruan pada 2017.