MANJUNG, 14 Julai- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi di Manjung, Perak.
Hasil serbuan menemukan 5,200 liter cecair disyaki minyak diesel yang disimpan dalam sebuah stor haram di kawasan penyelenggaraan dan pembinaan jalan Batu 20, Trong.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Negeri, Mohamed Aznanshah Khalid berkata modus operandi sindiket adalah melalui pembelian diesel di stesen minyak dan diisi terus ke tangki asal sebuah lori tanah secara berulang-ulang.
Tambahnya, sekali pembelian membabitkan anggaran sebanyak 600 liter.
Barangan bersubsidi itu dipercayai diseleweng untuk kegunaan mesin dan jentera penyelenggaraan pembinaan jalan raya bagi mengurangkan kos perniagaan.
Seorang lelaki tempatan berumur 35 tahun turut ditahan untuk siasatan lanjut.
Barangan seperti minyak diesel, sebuah lori dan beberapa peralatan serta dokumen juga disita dengan menjadikan jumlah rampasan lebih RM96,000.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
(Foto Ihsan KPDN Perak)