fb fb fb fb fb

KPDN Perak tumpaskan sindiket seleweng diesel berjumlah RM44,575

FOTO KPDN PERAK

KUALA KANGSAR, 6 Januari- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan minyak diesel membabitkan nilai RM44,575.

Ia hasil operasi yang dijalankan pukul 2.45 pagi di sebuah stesen minyak di Jalan Puncak Bougainvillea, Kuala Kangsar.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail menerusi kenyataan berkata, operasi dilaksanakan hasil risikan anggota penguat kuasa yang mengesan aktiviti pembelian minyak diesel yang mencurigakan menggunakan sebuah lori bonded.

Hasil pemeriksaan ke atas lori tersebut menemukan lima buah tangki IBC yang mengandungi cecair disyaki diesel.

Jelasnya, seorang lelaki berusia 48 tahun mengaku sebagai pemandu lori gagal mengemukakan dokumen melibatkan permit atau lesen barang kawalan.

Tindakan sitaan telah dilaksanakan terhadap lori berkenaan bersama lima unit tangki IBC, 4,500 liter cecair disyaki minyak diesel, satu set pam dan dokumen berkaitan.

Pemandu lori turut ditahan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE