KUALA LUMPUR, 14 Mac - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus melakukan pemantauan berhubung penjualan kurma dari Israel yang didakwa masih terjual di pasaran termasuk dalam talian.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata KPDN melaksanakan pemantauan melalui pelbagai akta khususnya Akta Perihal Dagangan 2011 bagi mengelakkan produk kurma itu ditawarkan kepada pengguna.
“Kita telah serta-merta memasukkan dalam prosedur operasi standard (SOP) dan terma rujukan Op Pantau yang kita lancarkan khas untuk Ramadan dan Aidilfitri ini bagi melihat secara terperinci berkaitan dengan penjualan kurma yang didakwa tersebut.
“Kita amat berharap kerjasama daripada seluruh masyarakat dan aduan awam dalam platform-platform rasmi yang wujud di KPDN,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid yang ingin tahu tindakan kerajaan untuk mengatasi penjualan kurma dari Israel melalui dalam talian dan sama ada kerajaan perlu meminda undang-undang untuk pastikan produk-produk Israel tidak mudah dapat masuk ke negara ini.
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada Rabu memaklumkan telah merampas 73 pek buah kurma disyaki produk dari Israel dalam satu serbuan di sebuah gudang penyimpanan makanan di Klang, Selangor pada Selasa.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar menasihatkan pengguna agar lebih bijak ketika membeli.
Ini dengan menyemak kod bar pada produk tersebut, terlebih dahulu.
"Kita kena jadi pengguna yang bijak dan bila hendak ambil itu tengok sebab sekarang dia ada kod yang boleh menentukan sama ada ia produk Israel ke tidak jadi kita kena buat kerja sikitlah," katanya.