KPDN olah lebihan makanan melalui inisiatif i-FB

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 12 Mac –Lebihan makanan daripada hotel dan industri makanan kini diproses menjadi hidangan sedia dimakan menggunakan teknologi retort.

RINGKASAN BERITA AI
  • KPDN memperkasakan Inisiatif ihsan Food Bank (i-FB) melalui program Inkubator untuk menyelamat dan mengagihkan makanan kepada kumpulan sasar.
  • Inisiatif i-FB membantu golongan memerlukan serta menyumbang kepada kelestarian alam sekitar dan keselamatan makanan negara.
  • KPDN berbincang dengan Kementerian Kewangan bagi pengiktirafan atau insentif kepada NGO dan industri; Program Santuni Komuniti akan diperluaskan ke Sabah dan Sarawak.

Ia dilaksanakan menerusi Inisiatif ihsan Food Bank (i-FB) yang diperkasakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, melalui program Inkubator i-FB, kementerian menyediakan mesin retort bagi membolehkan makanan yang diselamatkan diproses menjadi makanan sedia dimakan sebelum diagihkan kepada kumpulan sasar.

Setakat ini, sebanyak 14 mesin retort telah disalurkan kepada rakan strategik bagi pelaksanaan projek rintis termasuk di beberapa hotel sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Politeknik Sultan Idris Shah di Sabak Bernam.

“Melalui teknologi ini, makanan yang diselamatkan boleh diproses dan disimpan lebih lama sebagai makanan sedia dimakan sebelum diedarkan kepada golongan memerlukan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Program Ronda Ramadan Ihsan Food Bank (iFB) di sebuah hotel, di sini.

Hadir sama pada program itu ialah, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar dan Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam.

Tambah Datuk Armizan, inisiatif berkenaan bukan sahaja membantu menyantuni komuniti yang memerlukan, malah menyumbang kepada usaha kelestarian alam sekitar dan keselamatan makanan negara.

Dalam perkembangan berkaitan, KPDN turut berbincang dengan Kementerian Kewangan (MOF) bagi mempertimbang bentuk pengiktirafan atau insentif kepada badan bukan kerajaan (NGO) serta industri yang menyumbang dalam inisiatif i-FB.

Program Santuni Komuniti bawah inisiatif berkenaan turut digerakkan bagi menyampaikan bantuan makanan kepada pelbagai kumpulan sasar termasuk petugas keselamatan dan golongan gelandangan, selain akan diperluaskan ke Sabah dan Sarawak.