fb fb fb fb fb

KPDN, MOF perluas premis SARA untuk kemudahan rakyat

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali (tengah) beramah mesra dengan pelanggan sewaktu menghadiri Program Sentuhan Kasih, Jualan RAHMAH MADANI dan Advokasi Kepenggunaan di tempat letak kereta di Bandar Ramai Ramai hari ini/BERNAMA

SANDAKAN, 16 Februari- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bekerjasama dengan Kementerian Kewangan (MOF) dalam usaha memperbanyak premis pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah  (SARA).

Ini bagi meningkatkan akses kepada penerima SARA untuk mendapatkan barangan keperluan harian dengan lebih mudah di kawasan berdekatan.

Setakat 13 Februari lepas, 1,700 premis pasar raya dan kedai runcit seluruh negara terlibat dalam pelaksanaan SARA termasuk 340 premis di Sabah dan 320 premis di Sarawak.

"Kita mahu lebih banyak premis-premis yang menjadi pelaksana kepada SARA. Jadi, rakyat kita khususnya di pedalaman dan luar bandar tidak perlu untuk pergi jauh untuk membuat pembelian.

Jadi, kita akan bekerjasama dengan KPDN dan juga Kementerian Kewangan untuk mengenal pasti mana lagi premis, pasar raya, kedai runcit yang boleh kita daftarkan menjadi pelaksana SARA agar lebih mudah rakyat kita memanfaat bantuan kerajaan melalui SARA ini," kata Datuk Armizan kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui pada Program Sentuhan Kasih, Jualan Rahmah Madani dan Advokasi Kepenggunaan, di sini.

Bermula tahun ini, pelaksanaan SARA menggunakan MyKad telah diperluas ke Sabah dan Sarawak.

Melalui peluasan itu, bantuan SARA akan dikreditkan setiap bulan ke dalam MyKAD penerima berbanding kaedah pemberian tunai dua kali setahun sebelum ini.

Sementara itu, tiada unsur identifikasi porsin (DNA) khinzir dikesan dalam laporan dikeluarkan Jabatan Kimia pada kes sandwich "Ham dan Cheese" yang didapati menyalah guna logo halal.

Kenyataan itu disahkan Datuk Armizan Mohd Ali.

Bagaimanapun, syarikat dan pengarah syarikat pengeluar produk tersebut dituduh bawah dua kesalahan perintah perihal dagangan dagangan.

"Pendakwaan juga dibuat bawah Akta Cap Dagangan 2019 kerana kesalahan mengguna pakai logo halal yang tidak mendapat kebenaran ataupun perakuan daripada pemilik perdagangan. Pemilik cap dagangan adalah JAKIM," tambah Datuk Armizan.
 
Jelasnya, syarikat dan pengarah syarikat itu dituduh bawah perenggan 8 (b) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang bertentangan dengan perenggan 4 (1) (a) Perintah yang sama.

Syarikat dan pengarah syarikat itu didapati menawarkan untuk membekalkan produk makanan sandwich yang diperihalkan sebagai halal  dengan menggunakan logo halal Malaysia untuk menunjukkan makanan itu boleh dimakan oleh orang Islam tanpa diperakukan sebagai halal oleh pihak berkuasa berwibawa.

 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM