fb fb fb fb fb

KPDN lancar Ops Kesan, pantau peniaga susulan kenaikan kadar SST

Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 2 Mac - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Ops Kesan 2024 bagi memantau kesan pelaksanaan kenaikan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) daripada enam peratus kepada lapan peratus.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata fokus pemantauan dan penguatkuasaan adalah untuk memastikan peniaga di semua peringkat tidak mengambil kesempatan untuk mencatut atau membuat kenaikan harga yang bertentangan dengan perundangan pencatutan.

Beliau berkata, operasi berkenaan digerakkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

"Skop penguatkuasaan adalah meliputi sektor-sektor yang terlibat dengan kenaikan cukai perkhidmatan dan keseluruhan rantaian perkhidmatan yang berkaitan. Ini termasuk pemantauan kepada sektor yang tidak terlibat dengan kenaikan cukai perkhidmatan seperti makanan dan minuman.

"Tindakan tegas akan diambil sekiranya kenaikan harga yang tidak munasabah dilakukan dan tidak sejajar dengan perundangan pencatutan," katanya menerusi kenyataan.

Armizan berharap, orang ramai dapat memberikan maklumat dan bukti berkaitan sekiranya terdapat sebarang kenaikan harga tidak wajar dan siasatan serta-merta akan dilakukan di premis terlibat.

Orang awam boleh mengemukakan aduan menerusi aplikasi WhatsApp pada nombor 019-848 8000 / 019-279 4317; portal e-Aduan KPDN melalui pautan http://eaduan.kpdn.gov.my; pusat panggilan: 1-800-886-800 atau menggunakan aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN