fb fb fb fb fb

KPDN KL sasar luaskan Program PATUH ke 28 pasar awam mulai Januari

Mohd Sabri Seman (dua, kiri) melakukan lawatan pada perasmian Program Pasar Patuh (3P) di Pasar Awam Sungai Besi hari ini / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 November - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KPDNWP KL) menyasarkan untuk memperluas Program PATUH ke 28 lagi pasar awam di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bermula Januari tahun hadapan.

Pengarah KPDN KL, Mohd Sabri Seman berkata, inisiatif itu mampu meningkatkan ketelusan harga dan keyakinan pengguna tanpa membebankan peniaga dengan kos pematuhan yang tinggi.

“Melalui program ini, KPDN dapat melaksanakan pematuhan undang-undang dalam masa yang sama para peniaga tidak terbeban dengan kos tinggi atau prosedur yang menyukarkan,” katanya selepas melancarkan Program PATUH di Pasar Awam Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Beliau menambah, program berkenaan adalah model yang memberi manfaat bersama (win-win) bagi semua pihak dan akan diperluas ke pasar-pasar lain menggunakan pendekatan sama mulai Januari tahun depan.

Program PATUH bertujuan meningkatkan kesedaran peniaga terhadap kepentingan mematuhi undang-undang, menggalakkan persaingan sihat serta melindungi hak dan kepentingan pengguna.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE