KOTA BHARU, 26 Januari- Pelbagai jenis barangan kawalan dianggarkan bernilai hampir RM180,000 dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan sejak awal bulan ini hingga semalam.
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata rampasan membabitkan 89 kes dengan kebanyakan melibatkan kesalahan penyeludupan bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan pencatutan bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Dalam tempoh sama, KPDN Kelantan turut mengeluarkan 48 kompaun bernilai RM12,000.
"Ada 18 tangkapan kebanyakannya bawah Akta Kawalan Bekalan, itu yang banyak kita terima untuk 26 hari pertama 2025", katanya kepada media selepas merasmikan Walkabout Pematuhan Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2025 di Kota Bharu.
Skim Harga Maksimum terbabit berkuat kuasa selama sembilan hari bermula 25 Januari sehingga 2 Februari membabitkan 16 jenis barangan dengan diskaun sehingga 30 peratus.
Dalam perkembangan lain, KPDN Kelantan juga akan melancarkan Jualan Rahmah MADANI 'Back To School’ bermula 1 hingga 15 Februari dengan pemberian subsidi sehingga 30 peratus atas pembelian barangan keperluan sekolah.
Program akan membabitkan lebih 30 premis atau pasar raya seluruh Kelantan dan akan diadakan secara berperingkat di setiap jajahan.