KOTA BHARU, 6 April- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan mengesan sepuluh kes langgar peraturan bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan Akta Timbang Sukat 1972 sepanjang Ops Pantau 2024 sejak awal Ramadan sehingga kini.
Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan ke atas 2,787 premis sepanjang tempoh berkenaan.
"Sepuluh kes ini antaranya timbang sukat, tidak meletakkan tanda harga. Peniaga ayam setakat ini tidak ada dalam operasi ini.
"Tetapi sebelum ini ada beberapa tangkapan di beberapa kedai ayam yang menipu alat timbang sukat," katanya kepada pemberita selepas Walkabout Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2024 di sini.
KPDN tidak menerima sebarang aduan mengenai pemborong atau peruncit yang membuat sorokan barang-barang kawalan.
Bagaimanapun pemantauan akan terus dilakukan sehingga selepas Aidilfitri nanti.
Mengulas mengenai bekalan guna dan minyak masak, penguatkuasa mendapati orang ramai membeli minyak masak dalam kuantiti yang banyak sepanjang Ramadan menyebabkan bekalan khususnya di pasar raya berkurang.
Pihaknya juga akan menambah kuantiti barangan tersebut sebelum musim perayaan dan selepas musim perayaan melalui 18 pemborong yang telah dilantik.
Dalam pada itu Azman berkata, di Kelantan, sebanyak 20 jenis barangan terkawal bagi pelaksanaan Penguatkuasaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri termasuk bawang kuning besar, bawang merah (import), cili kering (keringting), cili merah, daging lembu tempatan dan ikan kembung.