fb fb fb fb fb

KPDN Kedah serbu stor haram, rampas 3,500 liter diesel cuba diseleweng

KOTO KPDN KEDAH

ALOR SETAR, 7 Mei- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah merampas 3,500 liter minyak diesel yang cuba diseleweng menerusi satu serbuan di sebuah stor haram di sekitar Tandop, Alor Setar, Kedah, semalam.

KPDN Kedah dalam kenyataan memaklumkan, serbuan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota KPDN Alor Setar sekitar pukul 3 petang.
 
Menurut kenyataan tersebut, ketika serbuan, tiada pemilik atau pekerja berada di dalam stor tersebut.
 
"Hasil pemeriksaan menemukan sembilan tangki IBC yang mengandungi cecair disyaki minyak diesel bersubsidi.
 
"Pemeriksaan lanjut, empat buah tangki IBC dikesan mengandungi 3,500 liter minyak diesel. Manakala lima lagi tangki IBC didapati kosong,"menurut kenyataan itu.
 
KPDN Kedah merampas kesemua minyak diesel dan tangki IBC dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM9,525.
 
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
 
Stor haram berkenaan difahamkan pernah diambil tindakan atas kesalahan sama pada tahun 2023.
 
KPDN akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen mana-mana stesen minyak yang disyaki terlibat dengan penyelewengan minyak petrol dan diesel bersubsidi sehingga siasatan selesai dijalankan dan keputusan kes dimuktamadkan bawah AKB 1961.
 
Orang ramai boleh melaporkan sebarang aduan yang berkaitan penyelewengan barang kawalan bersubsidi kepada pihak KPDN untuk tindakan lanjut.
 

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE