KLUANG, 28 Oktober- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor merekodkan 956 kes atas pelbagai kesalahan, membabitkan nilai rampasan kira-kira RM29.24 juta, sejak 1 Januari sehingga hari ini.
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, dalam tempoh sama juga, sebanyak RM392,800 kompaun dikeluarkan.
"Ia membuktikan pihak KPDN Johor sangat cakna terhadap kepentingan pengguna dan lebih kurang 69,000 premis yang kita telah periksa dengan kutipan jumlah denda mahkamah kira-kira RM623,000", katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali Peringkat Negeri Johor, di sebuah pasar raya di Taman Muhibbah, Kluang, Johor.
Tindakan diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961, Akta Timbang Sukat (ATS) 1972 dan Akta Cap Dagang (ACD) 2019.
Sementara itu, KPDN Johor turut memberi jaminan bekalan makanan mencukupi bagi menghadapi musim banjir, susulan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November ini.
Tambah Lilis Saslinda, pihaknya juga memberi kebenaran kepada pemborong terpilih (DDW) dan peruncit terpilih (DDR) untuk menyimpan bekalan makanan melebihi kadar ditetapkan, sebagai persediaan menghadapi bencana banjir.