KPDN bakal perkenal peraturan baharu elak warga asing beli RON95

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 Januari – Larangan pembelian petrol RON95 bersubsidi oleh kenderaan berpendaftaran asing dijangka berkuat kuasa 1 April depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peraturan baharu akan melarang pembelian RON95 oleh pemilik atau pemandu kenderaan berdaftar asing, bukan hanya penjual stesen minyak.
  • Langkah ini ditujukan menutup kelemahan undang-undang sedia ada bagi memperluas tindakan penguatkuasaan kepada pembeli.
  • Sasar penguatkuasaan bermula 1 April 2026 untuk mengurangkan ketirisan subsidi RON95 di bawah PBP.

Inisiatif itu dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi penggubalan peraturan baharu bawah Seksyen 6, Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan, langkah berkenaan diambil bagi menutup kelompongan peraturan sedia ada yang sebelum ini hanya melibatkan aspek penjualan.

Ia sekali gus membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil terhadap pembeli, bukan hanya pengusaha stesen minyak.

“Peraturan sedia ada menghadkan tindakan kepada stesen minyak walaupun pembelian dilakukan oleh kenderaan berpendaftaran asing.

Melalui peraturan baharu itu, larangan bukan sahaja melibatkan penjualan, malah turut merangkumi pembelian petrol RON95 bersubsidi,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, berhubung langkah penguatkuasaan bagi mengekang ketirisan subsidi RON95 bawah Program Pengedaran Barang Perlu (PBP).