
KUCHING, 14 Mac – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, (KPDN) akan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memperkukuh pemantauan penggunaan diesel bersubsidi di Sarawak.
- Elakkan ketirisan subsidi diesel dan pastikan bekalan dinikmati oleh sektor yang layak.
- Tindakan selaras saranan Perdana Menteri supaya kerajaan negeri membantu memantau penggunaan diesel.
- Subsidi diesel untuk sektor logistik diteruskan melalui fleet card Skim Kawalan Diesel Bersubsidi bagi mengekalkan rantaian bekalan.
Langkah itu diambil bagi memastikan tiada ketirisan subsidi berlaku selain sebagai jaminan bekalan bahan api dapat dimanfaatkan oleh sektor yang layak.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Fuziah Salleh menegaskan ia selaras saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta kerajaan negeri membantu memantau penggunaan diesel di negeri ini semasa lawatan kerja di Sarawak semalam.
Keadaan di Sarawak berbeza berbanding Semenanjung kerana ramai penduduk menggunakan kenderaan pacuan empat roda terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Subsidi diesel bagi sektor logistik yang membawa barangan keperluan masih diteruskan melalui penggunaan fleet card di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi bagi memastikan rantaian bekalan barangan tidak terjejas.