Kos haji kekal, usaha berterusan kerajaan ringankan beban jemaah

Foto hiasan

KOTA BHARU, 20 Mac – Keputusan kerajaan melalui Lembaga Tabung Haji (TH) mengekalkan kos menunaikan haji bagi musim 1447H/2026M pada kadar RM33,300 bagi jemaah Muassasah menerima reaksi positif dalam kalangan rakyat Kelantan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan meneruskan usaha meringankan beban bakal jemaah haji tanpa mengabaikan kualiti perkhidmatan.
  • Langkah menyokong golongan B40 dan M40 ketika kos operasi, bahan api dan penerbangan meningkat.
  • Rakyat menyatakan rasa syukur dan menghargai komitmen kerajaan serta agensi seperti Lembaga Tabung Haji.
  • Keputusan menegaskan kebajikan jemaah haji terus dipelihara, memberi peluang lebih ramai menunaikan fardu haji.

Langkah tersebut dilihat sebagai usaha berterusan kerajaan dalam meringankan beban bakal jemaah, khususnya golongan B40 dan M40, meskipun berdepan peningkatan kos operasi termasuk harga bahan api dan penerbangan global.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim menyifatkan keputusan tersebut sebagai bukti komitmen tinggi kerajaan MADANI dalam memastikan rakyat terus berpeluang menunaikan ibadah haji.

“Ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk membantu bersama dengan agensinya Lembaga Tabung Haji dalam menyediakan satu perkhidmatan jemaah Haji uang bertaraf dunia dan diiktiraf oleh kerajaan Arab Saudi.

Dalam pada itu, tinjauan mendapati rata-rata rakyat melahirkan rasa syukur dan menghargai usaha kerajaan.

Seorang penduduk, Mahadi Ghazi berkata, pengekalan kos tersebut amat melegakan dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

“Alhamdulillah terima kasih kepada kerajaan MADANI kerana mengekalkan kos penerbangan Haji sebanyak RM33,000 walaupun pada masa sekarang kita dibebani dengan perang antara negara-negara luar yang menyebabkan kos bahan mentah seperti minyak dan sebagainya meningkat, tetapi kita dapat mengekalkan kos penerbangan haji ke Mekah”, katanya.

Sementara itu, Mohd Suhaimi Yusof turut menyifatkan langkah itu sebagai peluang besar kepada umat Islam yang masih belum menunaikan haji.

“Alhamdulilah kos haji walaupun dikatakan kos ini naik tapi kerajaan masih mengekalkan dengan kos RM33,000 dan alhamdulillah ini memberi peluang kepada yang masih belum pergi haji lagi dapat menunaikan fardhu haji. Terima kasih kepada PMX kerana menangani masalah ini”, katanya.

Keputusan tersebut sekali lagi menegaskan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan jemaah haji terus terpelihara, selain memastikan ibadah itu kekal mampu dilaksanakan oleh rakyat Malaysia.