fb fb fb fb fb

Kos baharu pengambilan pekerja domestik Indonesia diumum pada April

PENDANG, 27 Mac - Kos baharu pengambilan pekerja domestik Indonesia akan diumumkan selepas Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Indonesia dimuktamadkan.

Memorandum tersebut dijadualkan ditandatangani oleh kedua-dua negara di Jakarta pada awal April ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata jumlah kos pengambilan pekerja domestik Indonesia adalah sebanyak RM7,800.

Jelasnya, kos sebanyak RM6,000 ditanggung oleh pihak Malaysia dan RM1,800 oleh pihak Indonesia. Kos tersebut berdasarkan Kumpulan Kerja Bersama Kesembilan pada September 2013 dalam Perjanjian Persefahaman yang telah tamat pada 2016.

(Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim)

"Seperti mana kita buat semakan gaji setiap dua tahun kita akan tengok, tidak semestinya naik, tidak semestinya turun, tetapi setiap 2 tahun kita akan semak dalam Majlis Perundingan Gaji Negara", katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke Hospital Pendang, di sini hari ini.

Bagaimanapun, ketika diminta mengulas sama ada berlaku kenaikan kos pengambilan pekerja domestik Indonesia, Datuk Awang tidak menolak kemungkinan berlaku kenaikan kos itu berikutan beberapa faktor.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pendang memaklumkan pembinaan Hospital Pendang yang bermula pada 2018 itu, kini telah siap 95 peratus.

"Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah menjalankan ujian fungsi keselamatan pada 7 unit lif penumpang di hospital berkenaan dan Sijil Perakuan Kelayakan (CF) telah dikeluarkan", katanya.

Media Baharu