fb fb fb fb fb

Korea Selatan bentang bajet tambahan 10 trilion won tangani kebakaran hutan

FOTO REUTERS

SEOUL, 30 Mac-Korea Selatan akan membentangkan rang undang-undang bajet tambahan bernilai 10 trilion won (AS$6.8 bilion) ke Parlimen dalam masa terdekat bagi menangani kesan kebakaran hutan terburuk dalam sejarah negara itu serta mengukuhkan ekonomi yang sedang merosot.

Menteri Kewangan Korea Selatan, Choi Sang-mok, dalam mesyuarat dasar tergempar pada Ahad, memaklumkan bahawa kebakaran tersebut telah memusnahkan 48,000 hektar hutan dan mengakibatkan 75 mangsa tercedera.

"Kami merancang untuk menggubal bajet tambahan kecemasan bernilai 10 trilion won yang boleh dilaksanakan dengan segera," katanya sambil menggesa Parlimen meluluskan langkah tersebut sebelum akhir April.

Kebakaran yang telah meragut sekurang-kurangnya 30 nyawa itu mencetuskan gesaan untuk reformasi nasional dalam pengurusan bencana bagi meningkatkan keberkesanan menangani situasi seumpama ini pada masa akan datang.

Dalam masa yang sama, Korea Selatan turut berdepan cabaran tambahan apabila tarif baharu Amerika Syarikat dijangka dikenakan oleh Presiden Donald Trump dalam tempoh terdekat, yang berpotensi menjejaskan sektor utama termasuk cip elektronik, farmaseutikal, dan automotif dalam ekonomi yang bergantung kepada eksport.

Bank Pusat Korea Selatan sebelum ini telah menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas kepada 2.75% serta menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi ke arah yang lebih rendah bagi menyokong pemulihan ekonomi.

Ekonomi negara itu hanya mencatat pertumbuhan 0.1% pada suku keempat tahun lalu, dengan Bank Korea mengurangkan unjuran pertumbuhan untuk tahun 2025 daripada 1.9% kepada 1.5%.- REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE