KUALA LUMPUR, 19 Jun- Seramai 500 asnaf diraikan dalam Program Ibadah Korban Perdana sempena 50 tahun Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Menerusi program itu sebanyak 1,300 bungkusan daging korban diagihkan kepada mereka serta kariah yang kurang berkemampuan.
Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata selain bertujuan membantu dan menyantuni golongan kurang berkemampuan, program tersebut juga dapat mengerat hubungan antara MAIWP dan golongan asnaf.
"KIta telah mengagihkan daging ini kepada 500 orang asnaf dan Alhamdulillah pada hari ini banyak juga anak syarikat MAIWP yang telah menyumbang lembu supaya dapat kami adakan majlis ini bersama," katanya.
Salah seorang penerima, Ahmad Sayuti Isa menyambut baik pelaksanaan program itu.
"Inisiatif yang baiklah maknanya asnaf ini diberikan perhatian yang baik daripada MAIWP sendiri maknanya mereka pun kira turun padang lah untuk mengetahui mungkin ada antara mereka yang ada masalah ke apa, mungkin boleh menyuarakan secara terus kepada pihak MAIWP," katanya.
Program yang berlangsung di Kompleks Darul Kifayah, Batu Caves itu adalah hasil kerjasama Pusat Pungutan Zakat MAIWP, Hospital Pusrawi, Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP, Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur dan MAIWP Healthcare Sdn.Bhd.