fb fb fb fb fb

Koperasi sektor peruncitan, bantu pengguna akses barang pada harga patut


LIPIS, 16 Februari
- Koperasi bagi sektor peruncitan terbukti berjaya membantu Keluarga Malaysia menangani kos sara hidup.

Presiden Angkatan Koperasi Malaysia (Angkasa), Datuk Seri Dr Abdul Fatah Abdullah berkata ini kerana kebanyakan koperasi peruncitan menawarkan harga barangan lebih murah berbanding pasaran biasa.

“Sehingga kini, terdapat sebanyak 13,428 koperasi berdaftar di seluruh negara dengan 60 peratus terdiri daripada koperasi dalam peruncitan serta penggunaan dan lebih 400 kedai yang diuruskan koperasi dengan menawarkan harga murah.

“Kami yakin koperasi itu boleh berperanan membantu kerajaan meningkatkan ekonomi khususnya membantu dari segi kos sara hidup sekarang ini dan penyertaan koperasi di sektor peruncitan sekurang-kurangnya dapat membantu menyediakan produk pada kadar harga patut,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-34 Pekebun Kecil Lipis di Lipis.

Majlis itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Padang Tengku, Datuk Mustapa Long yang mewakili Timbalan Menteri Satu, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Koperasi Malaysia menerusi koperasi peruncitan berharap Kedai Harga Patut (KHP) dapat meningkatkan aksesibiliti kepada pengguna pada harga berpatutan.

Media Baharu