KUALA LUMPUR, 4 Julai - Koperasi Pegawai-Pegawai Melayu (MOCCIS) menyalurkan RM15,000 bagi membantu penduduk terjejas banjir di Penampang, Sabah.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick turut merakamkan ucapan terima kasih atas keprihatinan semua agensi kementerian, koperasi-koperasi yang terlibat sumbangan ikhlas.
"Terima kasih atas doa dan sokongan kepada masyarakat di Penampang yang terkesan banjir. Ini merupakan yang terburuk dan terbesar dalam sejarah.
"Terima kasih pasukan penyelamat yang mana mereka pun ada risikonya pada malam itu kerana saya berada di pusat kawalan.
"Saya hargai anggota Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMA) yang turut bersama saya turun padang menyampaikan sumbangan kepada penduduk yang terjejas banjir di Penampang pada Selasa dan Rabu lalu, katanya yang menerima sumbangan berkenaan pada majlis Sambutan Ulang Tahun ke-90 koperasi itu hari ini.
Mengenai koperasi itu, Ewon berharap Koperasi MOCCIS terus berkembang maju dan menyumbang kepada ekonomi negara.
“MOCCIS mempunyai pelbagai perniagaan dan perkhidmatan yang semakin berkembang seiring dengan 90 tahun penubuhan koperasi ini dan menjadi antara koperasi Melayu tertua dan terunggul di Malaysia," katanya.