FOTO BERNAMA
PADANG TERAP, 15 Januari - Institusi pendidikan bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang menawarkan pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu dikoordinasikan agar memenuhi kebolehpasaran.
Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, penawaran bidang pengajian perlu lebih fokus dan dipertingkatkan untuk setiap institusi supaya tidak berlaku pertindihan kursus yang banyak.
Katanya penting untuk KPLB memastikan semua kursus yang ditawarkan mempunyai kekuatan tersendiri bagi melahirkan pelajar yang benar-benar berkemahiran.
"Sekarang kita sudah ada pemain industri, cuma maksud saya kalau kita ambil pelajar tu, katakankah kita ambil 40 pelajar tu ada pelajar yang berusia, adakah ada pasaran kerja untuk mereka? Kita mahu pastikan mereka ini dapat peluang pekerjaan." Kata Mahdzir selepas menyampaikan baucer bantuan persekolahan di Padang Terap, Kedah.
Terdapat lebih kurang 1,300 institusi TVET yang diuruskan oleh kerajaan dan swasta dengan menawarkan pelbagai kursus kemahiran diperingkat sijil, diploma dan ijazah.
Antaranya termasuk Giatmara, German Malaysia Institute (GMI), UniKL, Kolej Profesional Mara, Kolej Yayasan Pelajaran Mara dan Institut Kemahiran Mara.