DUNGUN, 30 Mei – Konvoi Kembara Jubli Emas Rukun Tetangga (RT) selamat tiba di KRT Taman Selesa, Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), pagi tadi.
Konvoi 30 motosikal berkuasa tinggi diketuai Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Dato’ Hj. Che Roslan Che Daud, disambut dengan persembahan Silat Jawi Terengganu sejurus tiba pukul 11 pagi.
Dato’ Che Roslan turut merasmikan logo baharu KRT dan pembukaan rasmi Pusat Komuniti (PUSKOM) KRT Taman Selesa, selain melancarkan Kempen #cakapbaikbaik dan program pemeriksaan kesihatan percuma oleh KOSPEN KRT Taman Murni Perdana Utara.
Dalam ucapannya, beliau menekankan peranan KRT sebagai pemacu komuniti harmoni dan progresif serta pentingnya komitmen dalam menjayakan program berimpak tinggi.
Beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada rakan strategik seperti KETENGAH, Pejabat Daerah dan Tanah Dungun, IPD Dungun, Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan KRT cemerlang, serta melaksanakan gimik pecah tanah tapak kebun RT Progresif bagi tanaman Sorghum.
Program diteruskan dengan pelepasan konvoi ke Hulu Terengganu, menyambung misi kembara perpaduan merentas enam negeri sempena dengan 50 tahun penubuhan RT.