fb fb fb fb fb

Konvensyen kebangsaan dirancang suku pertama tahun hadapan perhalusi Dasar Peluang Kedua

Menteri di Jabatan Perdana Menteri( Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said

KOTA TINGGI, 9 November - Satu Konvensyen Peringkat Kebangsaan bakal diadakan pada suku pertama tahun hadapan bagi memperhalusi pelaksanaan Dasar Peluang Kedua kepada syarikat, bagi menyelamatkan syarikat daripada bankrap atau muflis. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri( Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ia dijangka melibatkan beberapa pihak berkaitan dan pemegang taruh.

"Satu konvensyen bersama-sama semua agensi terlibat dengan beberapa pihak berkepentingan supaya kita buat konvensyen kebangsaan dan kemudian lepas di peringkat kebangsaan kita akan buat di peringkat negeri-negeri.

"Saya tidak tahu diaspek undang-undang sama ada kita mahu melihat kepada pindaan undang-undang untuk membantu atau lebih kepada struktur," kata Azalina.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Program MyLesen B2 dan Penyerahan Sumbangan Peralatan Sukan Belia Pengerang, di sini.

Pada 18 Oktober lalu, kerajaan merancang memperluaskan Dasar Peluang Kedua kepada syarikat-syarikat yang telah bankrap. 

Dasar itu menyasarkan pentadbiran insolvensi yang berkesan melalui pengurusan dan penghasilan harta insolvensi yang cekap dan berkesan termasuk harta melibatkan syarikat yang digulung. 

Dalam pada itu, Azalina memainkan peranan, dalam memudahkan urusan membawa balik dua sahabat yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja.

Mangsa, Mohd Sopi Khairul Fadzilah, 33 tahun dan Nurazlin Zulkifli, 28 tahun, terjerat dengan sindiket selepas ditawarkan gaji lumayan.

Kedua-dua mereka berasal dari Felda Air Tawar Empat, Kota Tinggi, tidak dibayar gaji sejak mula bekerja pada April lalu.

Mereka ditahan Imigresen Kemboja, dalam satu serbuan di tempat pekerjaan mereka di Sihanauk Ville, sebelum ditempatkan di Depot Imigresen selama dua bulan.

"Saya dimaklumkan berapa minggu lepas kemudian saya mengambil tindakan saya berhubung dengan Wisma Putra dan saya pun dimaklumkan bahawa proses bawa mereka balik memakan masa.

"Dan saya agak terperanjat kenapa apabila dah selamatkan hantar balik tu mahal, mahal tu satu hal, kenapa nak balik tu susah, sebab itu saya panggil Duta Kemboja jumpa saya dan Alhamdulillah dalam seminggu mereka selesaikan," katanya.

TETITIA YUSOFF