fb fb fb fb fb

Kontrak MySikap, Mainframe diberi kepada Heitech Padu secara tender terbuka

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke

PUTRAJAYA, 17 April - Pemberian kontrak perkhidmatan penyelenggaraan dan sokongan teknikal bagi MySikap dan Perkakasan dan Perisian Sistem Kerangka Utama (Mainframe) untuk semua pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kepada Heitech Padu Bhd telah melalui proses tender secara terbuka.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata selain meletakkan harga yang munasabah, syarikat itu juga melepasi kesemua peringkat penilaian.

Beliau berkata, dua syarikat pembida lain turut meletakkan harga dibawah harga siling namun Heitech Padu menawarkan harga paling rendah sebanyak RM185.07 juta.

“Pada 24 Nov, 2023, Lembaga Perolehan MOT telah bersidang dan memperakukan Heitech Padu sebagai tawaran yang terbaik berdasarkan harga yang munasabah dan terendah yang melepasi kesemua peringkat penilaian,” katanya kepada pemberita, di sini.

Beliau menjawab dakwaan kononnya projek itu ditawarkan kepada Heitech Padu, kerana seorang pengarah syarikat atau pemilik saham syarikat tersebut mempunyai kaitan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN