PUTRAJAYA, 12 Januari - Konsep Payung Rahmah akan diperluas tahun ini melalui pengenalan inisiatif Ihsan Rahmah Swasta dan Industri.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata penglibatan pihak swasta dan industri akan diperkukuh dengan membuka ruang kepada inisiatif serta program dirintis dan diperkenalkan sendiri kedua-dua pihak.
"Kita bersetuju atas dua perkara, untuk memastikan gagasan Payung Rahmah yang merupakan tema kepada program dan agenda kebajikan kerajaan ini disebarkan lagi menjadi tema kepada program kebajikan Industri dan Swasta," katanya pada sidang media selepas majlis Amanat Tahun Baharu kementeriannya, di sini.
Tambah Armizan, penglibatan sektor swasta dan industri akan membantu kerajaan menangani cabaran kos sara hidup yang akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat.
"Bagi tahun ini, RM200 juta telah diperuntukan untuk pelaksanaan program Payung Rahmah. Namun, ia disifatkan tidak praktikal untuk menampung lebih 30 juta rakyat dengan jumlah ini sahaja. Justeru, kami mempelawa penglibatan daripada pihak Swasta dan Industri," katanya.