KUALA LUMPUR, 30 Januari- Konsep Malaysia Madani yang diperkenal Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan menyangkal keberkesanan gagasan kepimpinan terdahulu.
Sebaliknya, ia sebagai langkah memperkukuh pembangunan negara.
Jelas Pengarah Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Azizan Baharuddin, setiap slogan yang dibawa mesti kekal berlandaskan Rukun Negara dan perlu dizahirkan mengikut undang-undang.
"Ia bukan untuk menidakkan gagasan atau wawasan sebelum ini, ia bagi memperkukuh pemikiran.
Semua wawasan dan gagasan sedia ada sebelum ini sangat diraikan," katanya ketika menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di TV1.
(Prof. Datuk Dr. Azizan Baharuddin, Pengarah Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya)
Tambahnya, ke arah merealisasi Konsep Malaysia Madani ia perlu dimulai di peringkat individu dengan memahami peranan masing-masing.
Usaha menjayakannya perlu berpandukan enam rukun Madani iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.