KUALA LUMPUR, 24 Januari- Konsep MADANI perlu diterjemahkan secara holistik dan seterusnya difahami oleh semua lapisan masyarakat ke arah membentuk sebuah negara aman makmur dan sejahtera.
Justeru Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata sudah tiba masanya untuk bertindak serta tidak hanya melihat kepada slogan semata mata bagi memastikan ia mampu dilaksana dengan berkesan.
"Kita tidak dapat untuk lari daripada kaedah yang telah di sasarkan oleh Yang Amat Berhormat, ini tanggungjawab setiap kita, tidak kira kakitangan kerajaan sama ada kita dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat, tapi setiap individu perlu terjemahkan nilai yang ingin dibawa oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kalau kita hendak melihat negara kita lebih maju, lebih makmur dimana rakyat dapat hidup dalam keadaan aman dan baik dan akhirnya keharmonian dapat kita wujudkan", katanya.
Menurutnya juga, tumpuan harus diberikan kepada keseluruhan agenda dalam konsep itu bagi membina kepercayaan dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Beliau berucap selepas melancarkan Anugerah Global Madani, di ibu negara.
Anugerah berkenaan bertujuan mengangkat sumbangan masyarakat tempatan atau antarabangsa yang menjalankan transformasi mengikut enam tonggak MADANI.
Enam tonggak MADANI meliputi kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.