Kongres khas DAP tidak jejas agenda reformasi Kerajaan MADANI

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil pada sidang media selepas merasmikan Program Penyatuan Seni dan Budaya/RTM

KUALA LUMPUR, 21 Februari – Kongres khas DAP pada 12 Julai depan adalah proses dalaman parti itu dan tidak menjejaskan agenda reformasi Kerajaan MADANI, tegas jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kongres khas DAP pada 12 Julai adalah urusan dalaman parti dan tidak menjejaskan agenda reformasi Kerajaan MADANI.
  • Kerajaan menekankan pelaksanaan reformasi institusi dan perundangan termasuk pemisahan kuasa dan had tempoh jawatan Perdana Menteri.
  • Tumpuan juga pada pengukuhan ekonomi, tadbir urus kewangan dan kestabilan politik demi kesejahteraan rakyat.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, perkara yang dibangkitkan itu merupakan sebahagian daripada mekanisme dalaman parti dalam membuat keputusan.

“Memang dari awal lagi ia adalah proses dalaman bagi DAP untuk memastikan keputusan yang dicapai dituruti.

“Itu adalah proses parti dalam membuat keputusan,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Penyatuan Seni dan Budaya di KL Gateway Mall di sini, hari ini.

Beliau menegaskan fokus utama kerajaan ketika ini adalah melaksanakan agenda reformasi institusi dan perundangan seperti yang diumumkan sebelum ini.

Menurutnya, sejak 5 Januari lalu, kepimpinan Kerajaan MADANI termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menggariskan empat usaha reformasi institusi, antaranya pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

Tambah beliau, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan dua rang undang-undang berkaitan had tempoh jawatan dan pemisahan kuasa itu dijangka dibentangkan pada awal Mac dalam sidang Parlimen.

Dalam masa sama, Datuk Fahmi berkata kerajaan turut memberi tumpuan kepada pengukuhan ekonomi negara yang kini menunjukkan perkembangan positif, termasuk pengukuhan nilai ringgit berbanding mata wang utama dunia.

Beliau menambah, usaha memperkukuh tadbir urus dan memperketat mekanisme pemantauan kewangan juga dilaksanakan bagi memastikan wang rakyat tidak diseleweng serta ketirisan dapat diminimumkan.

“Saya percaya usaha Kerajaan MADANI berada di landasan yang tepat dan semua parti komponen memahami fokus serta keutamaan ini,” katanya.

Beliau menegaskan, tumpuan kerajaan kekal kepada kestabilan politik, reformasi institusi dan kesejahteraan rakyat meskipun wujud perbincangan dalaman parti yang tular di media sosial.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.