fb fb fb fb fb

KEB 2024 mampu perkukuh industri halal negara - TPM

Sejak KEB yang pertama dilaksana pada tahun 1965, ramai usahawan bumiputera cemerlang berjaya dilahirkan.

PUTRAJAYA, 28 Februari- Satu dasar pembangunan ekonomi perlu diwujudkan bertujuan memperkasa perusahaan bumiputera secara holistik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata cadangan itu bagi memastikan pemilikan serta penguasaan bumiputera dalam ekonomi dapat direalisasikan dan dipacu ke peringkat yang lebih tinggi.

Katanya, perkara tersebut termasuk pemerkasaan melalui sumber tanah terutama untuk memanfaatkan potensi tanah yang luas dan subur di Malaysia.

"Dasar itu perlu dilaksana secara agresif dan kolektif bagi menyokong inisiatif transformasi pertanian untuk meningkatkan keterjaminan makanan, mewujudkan peralihan adil ekonomi bumiputera dan menggunakan tanah dalam memacu ekonomi kitaran berimpak tinggi," katanya kepada pemberita bersempena Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang dijadualkan berlangsung esok hingga 2 Mac ini di sini.

Katanya, sejak KEB yang pertama dilaksana pada tahun 1965, ramai usahawan bumiputera cemerlang berjaya dilahirkan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata antara cadangan yang akan dibentang di KEB 2024, sebagai resolusi bagi memperkasa industri halal adalah mewajibkan pembelian 70 peratus produk halal dan bumiputera bagi program rasmi kerajaan.

Ahmad Zahid berkata penyelesaian lain termasuk melaksanakan Transformasi Perniagaan Halal.

Ia melalui aktiviti penilaian ketersediaan serta bimbingan perniagaan.

Resolusi-resolusi berkenaan hasil dapatan sesi libat urus KEB 2024 yang dilaksana baru-baru ini.

KEB 2024 diyakini mampu memperkukuh industri halal untuk menjadikan Malaysia peneraju global ekonomi halal.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM