fb fb fb fb fb

Konflik Palestin-Israel: Pendirian Malaysia tidak berubah- Zambry Abdul Kadir

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir

KUALA LUMPUR, 7 Disember- Pendirian Malaysia berhubung konflik Israel dan Palestin kekal dan tidak berubah.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menjelaskan, Malaysia sentiasa menyokong pengembalian hak mutlak bebas kepada rakyat Palestin daripada pendudukan haram Israel.

Ini termasuk pengembalian hak tanah yang telah dirampas serta hak membentuk sebuah negara Palestin yang merdeka dan  berdaulat berdasarkan  garis sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis timur sebagai ibu  negara.

"Komitmen Malaysia dalam hal yang berkaitan ini (konflik Palestin Israel) bukan baru, krisis berlaku sejak tahun 1957 lagi. Saya yakin, rakyat Malaysia tahu pendirian Malaysia selama ini dan saya juga yakin bahawa daripada segi pendekatan yang dilakukan oleh Malaysia sepanjang krisis, tentunya memberi gambaran yang jelas kepada rakyat negara ini betapa Malaysia begitu aktif sekali berpartisipasi di peringkat antarabangsa untuk menyegerakan proses supaya ianya ditamatkan dengan segera.

'Ini termasuklah (seperti yang saya sebutkan tadi) penglibatan Malaysia oleh Perdana Menteri dan saya secara langsung dalam proses untuk kita menyegerakan proses rundingan dan juga menghentikan peperangan yang tidak berperikemanusiaan ini,"katanya.

Datuk Seri Dr Zambry memberi penjelasan berhubung soalan yang dajukan Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian mengenai pendirian Malaysia berkenaan konflik di Palestin.

Sementara itu Datuk Seri Dr Zambry memaklumkan, Malaysia sentiasa terlibat secara aktif dan tidak pernah gagal daripada menyertai sesi-sesi rundingan di peringkat antarabangsa dan serantau.

Malah, sokongan dan solidariti kepada Palestin turut dizahirkan semasa penyertaan Malaysia di sidang kemuncak tergempar bersama negara Arab-Islam pada 11 November 2023 lalu selain semasa 'APEC Economic's Leader Retreat' pada 17 November di San Francisco, California; yang dipengerusikan  oleh Presiden Amerika.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE