fb fb fb fb fb

Konflik Lubnan: Blinken seru penyelesaian secara diplomatik

Foto REUTERS

VIENTIANE,11 Oktober-Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken, pada Jumaat menyuarakan harapan untuk penyelesaian diplomatik di Lubnan serta usaha mencegah konflik yang lebih meluas,

Blinken turut menyokong usaha Lubnan untuk memperkukuhkan dirinya berdepan dengan Hizbullah.

Blinken sekali lagi menegaskan bahawa Israel, yang telah melancarkan serangan ke atas Lubnan, mempunyai hak untuk mempertahankan diri daripada ancaman Hizbullah, namun, pada masa sama turut melahirkan kebimbangan terhadap situasi kemanusiaan yang semakin meruncing.

"Kami terus terlibat secara intensif untuk mencegah berlakunya konflik yang lebih besar di rantau ini," kata Blinken kepada wartawan selepas menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur di sini.

"Kita semua mempunyai kepentingan untuk membantu mewujudkan persekitaran di mana rakyat boleh kembali ke rumah mereka dalam keadaan selamat, dan anak-anak boleh kembali ke sekolah," tambahnya.

"Jadi, Israel mempunyai kepentingan yang jelas dan sangat sah dalam hal ini.

"Rakyat Lubnan juga mahukan perkara yang sama. Kami percaya bahawa cara terbaik untuk mencapainya adalah melalui persefahaman diplomatik, yang telah kami usahakan untuk sekian lama dan menjadi fokus kami pada masa ini."

Beliau juga menegaskan bahawa Amerika Syarikat akan terus memberikan sokongan kepada negara Lubnan yang rapuh itu untuk membangunkan kekuatannya, setelah sekian lama berada di bawah pengaruh kuat Hizbullah.

"Sudah jelas bahawa rakyat Lubnan mempunyai kepentingan-kepentingan yang sangat besar iaitu agar negara mereka mampu menegaskan kuasa dan mengambil tanggungjawab terhadap masa depan negara," kata Blinken.

Selain itu, beliau turut menyuarakan kebimbangan Amerika Syarikat kepada Israel mengenai situasi kemanusiaan di Gaza.

"Saya amat bimbang dengan kekurangan bantuan yang disalurkan kepada mereka," kata Blinken, sambil menambah bahawa Amerika Syarikat telah "terlibat secara langsung" dengan Israel mengenai isu ini.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD