fb fb fb fb fb

Konflik di Gaza, Kaukus Palestin Parlimen serah notis bantahan

Notis dihantar melalui kedutaan Amerika Syarikat, Suruhanjaya Tinggi Britain dan Perwakilan EU di Malaysia.

KUALA LUMPUR, 8 Disember - Malaysia telah menghantar notis bantahan kepada Amerika Syarikat (AS), Britain dan Kesatuan Eropah (EU) berhubung situasi di Gaza.

Notis dihantar melalui kedutaan Amerika Syarikat, Suruhanjaya Tinggi Britain dan Perwakilan EU di Malaysia.

Pengerusi Kaukus Palestin Parlimen Malaysia, Syed Ibrahim Syed Nohm menegaskan Malaysia menggesa semua pihak berusaha ke arah gencatan senjata secara kekal selain penyaluran misi kemanusiaan yang saksama.

"Kita minta Amerika Syarikat supaya hentikan segala bantuan ketenteraan langsung dan tidak langsung kepada Israel. Kita juga menggesa Amerika Syarikat bertindak lebih bertanggungjawab dan adil dalam menangani konflik Israel Palestin termasuk membawa tindakan jenayah Israel itu tanpa berbelah ke muka pengadilan," katanya.

Beliau ditemui pemberita di perkarangan kedutaan Amerika Syarikat di ibu negara, ditemani Naib Presiden Keadilan, Nurul Izzah Anwar dan wakil pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dari Global Peace Mission (GPM), Syahrir Azfar Saleh.

Notis bantahan ditandatangani 38 ahli parlimen pelbagai parti selain disokong lebih 30 aktivis politk dan NGO.

Tambah Syed Ibrahim, dokumen tandatangan tersebut masih lagi aktif dan dijangka mendapat sokongan penuh semua ahli Parlimen.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN