Konflik Asia Barat: Usaha evakuasi diatur, rakyat Malaysia dinasihat tangguh perjalanan

Kementerian Luar Negeri

KUALA LUMPUR, 5 MacKementerian Luar Negeri menggesa rakyat Malaysia supaya menangguhkan perjalanan ke negara-negara yang terjejas akibat konflik yang melanda sehingga keadaan reda.

RINGKASAN BERITA AI
  • Wisma Putra mengutamakan keselamatan rakyat Malaysia dan menangguhkan perjalanan ke negara konflik sehingga diberitahu kemudian.
  • Usaha evakuasi sedang diatur bersama perwakilan diplomatik, kerajaan berkaitan dan syarikat penerbangan.
  • Rakyat digesa daftar dan kemas kini maklumat dengan kedutaan atau melalui e-konsular untuk memudahkan penyelarasan evakuasi.
  • Mereka yang terkandas mesti patuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan elakkan kawasan operasi ketenteraan serta perhimpunan awam.

Wisma Putra menerusi kenyataan menegaskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia menjadi keutamaan tertinggi kerajaan dalam menghadapi ancaman keselamatan semasa.

“Nasihat perjalanan ini akan terus berkuat kuasa sehingga suatu masa yang akan dimaklumkan kelak. Kementerian memohon kerjasama dan kefahaman semua pihak, termasuk agensi pelancongan”, menurut kenyataan itu.

Kenyataan tersebut tertumpu kepada rakyat Malaysia yang berhasrat untuk mengerjakan umrah atau ziarah ke negara-negara yang terlibat konflik.

Mengulas mengenai situasi rakyat Malaysia yang berada di kawasan konflik, Wisma Putra sedang giat melakukan usaha evakuasi rakyat Malaysia sama ada yang terkandas mahupun terjejas berikutan penggantungan penerbangan dan penutupan ruang udara.

Dalam kenyataan yang sama, Kementerian memaklumkan sedang bekerjasama dengan Perwakilan Diplomatik Malaysia, kerajaan negara-negara berkaitan serta syarikat penerbangan bagi mengatur usaha evakuasi rakyat Malaysia.

Disamping itu, Wisma Putra menggesa rakyat Malaysia segera mendaftar dan mengemaskini maklumat perhubungan masing-masing dengan Kedutaan Besar Malaysia atau perwakilan Malaysia yang terdekat atau melalui e-konsular di https://ekonusular.kln.gov.my bagi memudahkan penyelarasan evakuasi tersebut.

Wisma Putra turut menasihatkan mereka yang terkandas supaya mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan di negara-negara yang terjejas serta mengelakkan kawasan operasi ketenteraan dan perhimpunan awam.

Pihak Kementerian juga akan terus memantau situasi secara dekat bagi memastikan kepentingan rakyat Malaysia sentiasa terpelihara dan usaha evakuasi ini dilaksanakan sebaiknya.