
MACHANG, 10 Mac– Konflik di Asia Barat yang berlarutan hampir dua minggu, setakat ini tidak memberi kesan ketara kepada eksport komoditi negara.
- Jika ketegangan berterusan, eksport minyak sawit dan perabot berisiko terjejas.
- Pengangkutan, logistik dan kos insurans meningkat apabila laluan seperti Selat Hormuz terjejas.
- Menteri harap konflik dihentikan segera; LKTN menyumbang tilam kenaf dan wang zakat kepada 87 penuntut tahfiz.
Perkara itu dinyatakan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Bagaimanapun, sekiranya ketegangan antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran itu berterusan, kemungkinan besar akan menjejaskan eksport terutama komoditi minyak sawit serta perabot.
“Belum ada lagi yang besar tapi dari segi eksport, jika kita melalui Selat Hormuz dan sebagainya sudah semestinya akan ada kerana ia masih ditutup.
“Akan ada peningkatan dari segi pengangkutan, logistik dan apabila kita melalui kawasan perang, insurans perlu dipertingkatkan. Itu cabaran yang dihadapi pengekspot komoditi daripada Malaysia,” katanya.
Beliau berkata semua pihak mengharapkan agar konflik Asia Barat itu dihentikan segera supaya urusan eksport komoditi negara tidak menghadapi masalah.
Datuk Seri Dr Noraini berkata demikian kepada pemberita selepas Program turun padang bersama Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) ke Maahad Tahfiz al-Quran Al Iman di Ketereh, Kota Bharu.
Seramai 87 penuntut maahad terbabit menerima tilam kenaf serta wang zakat sumbangan LKTN.