Konflik Asia Barat tidak jejas bekalan ikan, hasil laut negara

Foto RTM

PUCHONG, 13 Mac- Ketegangan geopolitik di Asia Barat tidak menjejaskan bekalan ikan dan hasil laut negara menjelang sambutan Aidilfitri.

RINGKASAN BERITA AI
  • LKIM sedia bekalkan 1,600 tan hasil laut dari bilik sejuk dan kontraktor jika berlaku kekurangan di pasaran.
  • Kerajaan mengekalkan subsidi bahan api kepada nelayan bagi mengawal kos operasi dan mencegah kenaikan harga ikan.
  • Musim tangkapan baik pada Mac hingga April kerana cuaca stabil tanpa monsun, menyokong bekalan di pasar.

Jaminan itu diberikan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil.

Beliau berkata, sejumlah besar hasil laut masih kekal dalam simpanan bagi menampung keperluan Aidilfitri dan pasaran sekiranya berlaku kekurangan bekalan.

“Sebanyak 1,600 tan ikan yang disimpan di bilik sejuk LKIM bersama persatuan nelayan serta syarikat swasta yang mempunyai kontrak dengan kami sedia dibekalkan sekiranya berlaku kekurangan ikan di pasaran” katanya.

Tambahnya, bulan Mac hingga April merupakan musim tangkapan ikan yang baik kerana keadaan cuaca yang stabil tanpa Monsun.

Beliau berkata demikian di Majlis Iftar bersama warga kerja LKIM yang dihadiri kakitangan dari seluruh negara.

Beliau turut memaklumkan kerajaan masih mengekalkan subsidi bahan api kepada nelayan bagi memastikan kos operasi tidak meningkat sekaligus mengelakkan kenaikan harga ikan di pasaran.

“LKIM berharap agar pergolakan Asia Barat tidak berpanjangan kerana dikhuatiri menjejaskan ekonomi perikanan global,” katanya.

Dalam perkembangan lain beliau berkata program jualan murah LKIM di Pasar Nelayan Pulau Meranti yang berlangsung pada Jumaat mendapat sambutan menggalakkan.

Sekitar 1,500 kilogram (kg) ikan pelbagai spesies serta diskaun sehingga 40 peratus ditawarkan kepada pembeli.