
selepas Program Ihya’ Ramadan di Wisma Tani, di Putrajaya
PUTRAJAYA, 5 Mac -Konflik yang sedang berlaku di Asia Barat ketika ini tidak menjejaskan aspek keterjaminan makanan negara.
- Konflik Asia Barat tidak menjejaskan keterjaminan makanan Malaysia kerana negara terlibat bukan pengimport utama makanan negara.
- Malaysia lebih banyak mengimport makanan dari India, Pakistan, ASEAN, Australia, New Zealand, Brazil dan Argentina.
- BERNAS akan tingkatkan stok penimbal dan langkah pengurusan krisis disediakan untuk mitigasi gangguan bekalan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, keadaan itu berikutan kebanyakan negara yang terlibat dalam konflik berkenaan bukan pengimport utama sumber makanan Malaysia.
“Peperangan yang berlaku di Asia Barat tidak banyak menjejaskan bekalan makanan Malaysia kerana negara-negara di rantau itu bukan rakan utama dalam urusan import makanan negara. Sebaliknya, Malaysia lebih banyak mengimport makanan dari negara seperti India, Pakistan, negara ASEAN, Australia, New Zealand, Brazil dan Argentina.
“Bagi pasaran Asia Barat pula, Malaysia lebih terlibat dalam aktiviti pengeksportan, terutama ke Dubai dan negara-negara di sekitarnya. Setakat ini, konflik tersebut belum menjejaskan aspek keterjaminan makanan negara,” katanya dalam sidang media selepas Program Ihya’ Ramadan di Wisma Tani, di sini.
Datuk Seri Mohamad berkata, pihaknya akan sentiasa memantau dan mendapatkan perkembangan semasa mengenai konflik tersebut.
Katanya, langkah mitigasi juga akan diambil oleh Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) bagi memastikan negara mempunyai stok penimbal yang mencukupi, menghadapi sebarang kemungkinan gangguan bekalan beras.
Selain itu, langkah-langkah pengurusan krisis juga telah dirangka dan tindakan akan diambil mengikut keperluan semasa.