Konflik Asia Barat: Menteri saran rakyat manfaatkan ruang kediaman bercucuk tanam

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu/Foto Facebook Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR, 29 Mac – Rakyat dinasihatkan memanfaatkan ruang di kediaman masing-masing untuk bercucuk tanam sebagai langkah memperkukuh sekuriti makanan negara dalam menghadapi ketidaktentuan global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Konflik Asia Barat menjejaskan rantaian bekalan makanan global dan boleh memberi kesan kepada bekalan makanan di negara kita.
  • Orang ramai digalakkan menanam cili, sayur dan ulam di ruang kecil rumah untuk kurangkan kebergantungan kepada bekalan luar.
  • Kerajaan akan memperkukuh sistem makanan negara, dan rakyat diminta ambil peranan bermula dengan apa yang ada.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata demikian susulan konflik geopolitik di Asia Barat yang memberi kesan kepada rantaian bekalan makanan global.

“Kita mungkin tak nampak secara langsung, tapi impaknya boleh sampai ke meja makan kita,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata orang ramai boleh bermula dengan menanam tanaman asas seperti cili, sayur-sayuran dan ulam bagi mengurangkan kebergantungan kepada bekalan luar.

“Sebab itu Bang Mat nak ajak semua, kalau ada ruang walaupun kecil di rumah, tanamlah apa yang mampu. sedikit sebanyak boleh bantu kurangkan kebergantungan dan dalam masa sama jadi satu usaha yang bermanfaat untuk keluarga,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata kerajaan akan terus memperkukuh sistem makanan negara bagi memastikan bekalan mencukupi serta akses kepada rakyat sentiasa terjamin.

“Ini tanggungjawab yang sedang dan akan terus kita laksanakan. Yang penting, kita sama-sama ambil peranan, mulakan dengan apa yang ada,” katanya.