BANJUL, 5 Mei- Malaysia sekali lagi menyeru tindakan segera diambil bagi menangani ketegangan di Asia Barat yang berisiko terhadap ekonomi global dan kemajuan ummah di seluruh dunia.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika menyampaikan kenyataan negara pada Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-15 turut menggesa negara-negara Islam bersatu padu dan bertindak untuk menangani isu utama itu.
"Ketegangan yang meningkat di Asia Barat sudah tentu akan mengundang risiko kepada ekonomi global dan kemajuan ummah.
"Walaupun kita menghargai pendekatan bertenang yang diambil pihak terlibat, OIC perlu berusaha dengan masyarakat antarabangsa untuk menangani punca utama masalah itu iaitu pendudukan haram Israel di Palestin lebih dari tujuh dekad," katanya dalam persidangan yang berlangsung di sini, Gambia, hari ini.
Beliau juga menyeru kepada pelaksanaan satu gencatan senjata, akses tanpa halangan untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan, kebertanggungjawapan terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa dan kemasukan Palestin sebagai anggota tetap Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Menteri Luar itu juga menzahirkan kebimbangan tentang Islamofobia, menekankan keperluan usaha bersama untuk memerangi prejudis dan diskriminasi terhadap orang Islam.
"Kita telah menyaksikan parti politik berhaluan kanan, pemimpin agama dan malah negara serta pelakon Barat mempersendakan kepelbagaian kepercayaan dan agama, termasuk membakar dan menghina al-Quran dengan sengaja," katanya pada sidang kemuncak itu.
Mohamad turut menekankan kepentingan kerjasama ekonomi dan hubungan perdagangan dalam kalangan negara OIC untuk membasmi kemiskinan dan pembangunan sosioekonomi, selain kepentingan membantu golongan minoriti Muslim dan pelarian.
"OIC juga perlu meneruskan usahanya untuk membantu minoriti Muslim dan komuniti di luar negara anggota, termasuk etnik Rohingya untuk melindungi maruah, identiti keagamaan dan kebudayaan mereka selain daripada menambah baik keadaan mereka.
"Kita mesti kukuhkan kerjasama dan hubungan perdagangan dalam kalangan negara anggota OIC, seperti yang diterima pakai dalam Pelan Tindakan OIC 2016-2025," katanya..
Sidang Kemuncak selama dua hari itu menyediakan platform perbincangan kepada pencapaian OIC dan cabaran berterusan dihadapi dunia Islam dengan bertemakan "Meningkatkan Perpaduan dan Solidariti menerusi Dialog untuk Pembangunan Mampan".