Konflik Asia Barat lonjak kos pengeluaran makanan negara

Foto hiasan/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Konflik di Asia Barat yang semakin memuncak dikhuatiri menjejaskan kestabilan bekalan tenaga global selain turut memberi kesan langsung kepada peningkatan kos pengeluaran makanan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kenaikan harga minyak dan gas menaikkan kos agromakanan kerana penggunaan diesel meluas bagi jentera, sistem pengairan dan operasi ladang.
  • Kos baja kimia, terutama nitrogen dan urea, sensitif kepada harga gas; baja menyumbang 20 hingga 30 peratus kos pengeluaran makanan.
  • Kesan utama untuk Malaysia ialah kenaikan harga makanan kerana pergantungan import gandum, jagung dan komoditi asas lain.
  • Cadangan: kurangkan import strategik, tingkatkan pengeluaran tempatan beras, jagung, makanan ternakan, ayam, telur, sayur dan baja organik.

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Jaringan Industri), Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof. Madya Ts. Dr. Fazleen Abdul Fatah berkata, kenaikan harga minyak dan gas susulan ketegangan geopolitik di rantau tersebut menyebabkan kos dalam sektor agromakanan meningkat, memandangkan pengeluaran makanan sangat bergantung kepada tenaga.

Katanya, sektor pertanian menggunakan diesel secara meluas bagi menggerakkan jentera, sistem pengairan serta operasi ladang, sekali gus menjadikan kos bahan api sebagai komponen penting dalam pengeluaran.

“Kita lihat juga kesan terhadap input pertanian khususnya baja kimia iaitu nitrogen sangat sensitif terhadap perubahan harga gas. Jadi ketegangan ini boleh menyebabkan harga urea global meningkat selari dengan harga tenaga. Jadi apabila harga gas ini menginjak, kita dapati kos baja juga turut meningkat secara median.

“Dalam proses pengeluaran makanan, kos baju itu sebenarnya mempunyai komposisi sebanyak 20 hingga 30 peratus. Jadi secara tidak langsung ia akan memberi kesan kepada hasil pertanian kerana pertanian mungkin mengurangkan penggunaan baja dan akhirnya boleh menjejaskan bekalan makanan,” katanya ketika dihubungi Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Dalam konteks Malaysia, beliau berkata, kesan utama bukanlah kekurangan bekalan secara mendadak, sebaliknya peningkatan harga makanan, memandangkan negara masih bergantung kepada import bagi pelbagai komoditi asas.

“Sekarang ini makanan masih mencukupi tetapi kesan yang paling ketara adalah kenaikan harga makanan. Sebagai contoh Malaysia bergantung sepenuhnya kepada import gandum dan mengimport sejumlah jagung dalam jumlah yang agak besar sebagai makanan tenaga,” katanya.

Tambah beliau, pendekatan terbaik Malaysia bukanlah untuk menghapuskan sepenuhnya import makanan tetapi memastikan pengurangan secara strategik, khususnya bagi makanan yang bersifat kritikal kepada keselamatan makanan negara.

Katanya, Malaysia boleh memberi fokus kepada makanan kritikal seperti beras, jagung bijian dan juga makanan ternakan, seterusnya ayam, telur dan juga sayur-sayuran terutamanya yang perlu diperkukuhkan dari segi pengeluaran domestik.

“Sebagai contoh, kerajaan boleh membangunkan industri jagung biji tempatan dan juga memanfaatkan sisa kelapa sawit sebagai alternatif dedak dan fokus kepada penghasilan baja organik tempatan bagi mengurangkan kepergantungan kepada baja kimia import,” jelasnya lagi.