Konflik Asia Barat: KPT pantau rapi keselamatan pelajar Malaysia

Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir/ Facebook Zambry Abd. Kadir

KUALA NERUS, 30 Mac-Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan keselamatan pelajar Malaysia di Asia Barat terus menjadi keutamaan dan dipantau rapi susulan ketegangan akibat konflik antara Amerika Syarikat (AS)-Israel dan Iran ketika ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • KPT bekerjasama rapat dengan Kementerian Luar untuk memantau situasi dan menjaga kebajikan pelajar Malaysia.
  • Pemantauan khusus dilaksanakan di negara-negara Teluk yang berpotensi terkesan, termasuk Arab Saudi.
  • KPT menegaskan langkah perlu diambil tanpa mengira bilangan pelajar untuk memastikan keselamatan mereka.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata KPT sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Luar bagi memantau situasi semasa sekali gus memastikan kebajikan pelajar terpelihara.

Jelasnya, pemantauan khusus turut dijalankan di negara-negara Teluk yang berpotensi terkesan dengan konflik tersebut termasuk Arab Saudi.

“Jika dilihat di negara-negara Teluk — hanya Arab Saudi mempunyai bilangan pelajar Malaysia yang ramai. Negara Teluk lain termasuk institusi yang berkaitan dengan Amerika Syarikat, mempunyai bilangan pelajar yang sedikit.

“Tetapi, walau ramai atau sedikit, KPT tetap mengambil langkah perlu untuk memastikan rakyat Malaysia sentiasa berada dalam keadaan selamat,” tegasnya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Sembang Santai Menteri Pendidikan Tinggi Bersama Mahasiswa di Dewan Perdana, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini hari ini.